Jun 30, 2025 - FAS
Chrigor Moraes, kini secara rasmi menjadi pemain import kedua terbaru Gergasi Merah bagi mengharungi saingan Liga Malaysia serta perlawanan antarabangsa; ACLTWO dan Kejohanan Kelab ASEAN musim 2025/26.
Dilahirkan di Cachoeira do Sul, Brazil, Chrigor memulakan kerjaya profesionalnya bersama Brasil de Pelotas untuk dua perlawanan di Série B pada 2018 sebelum kariernya terus berkembang bersama Red Bull Brasil. Beliau berjaya membuat 12 penampilan dan menjaringkan 4 gol dalam kempen Paulista A2 musim 2020 bersama Red Bull Brasil selain memperkuatkan skuad 20 tahun pasukan tersebut.
Kemudian, beliau diserap ke pasukan utama Red Bull Bragantino dan mencatat 2 gol dalam 9 penampilan di Série A Brazil. Bagi mendapatkan lebih peluang bermain secara konsisten, Chrigor melalui beberapa pinjaman strategik ke kelab seperti América Mineiro, Novorizontino, Ituano, dan Inter de Limeira, bagi mematangkan corak permainnya.
Rekod terbaik Chrigor di Brazil adalah pada tahun 2023 apabila beliau menyertai Portuguesa dan mencatat 7 gol dalam 12 perlawanan Copa Paulista, sekali gus membuka jalan untuk beliau melebarkan sayap untuk julung kalinya ke luar negara.
Chrigor menandatangani kontrak bersama Buriram United F.C. semasa pertengahan musim 2024, di mana beliau tampil cemerlang dalam Liga Thai dengan menyumbang 7 gol dalam 14 perlawanan berama Buriram, termasuk aksi dalam Liga Juara-Juara AFC Elite dan kejohanan antarabangsa ASEAN, ASEAN Shopee Cup 2024.
Prestasi Chrigor dilihat terus meningkat secara konsisten selepas musim dipinjamkan ke PT Prachuap F.C., dengan mencatat 10 gol dan 2 bantuan gol dalam hanya 13 perlawanan liga, menjadikan beliau antara penjaring terbanyak Thai League 1 musim ini, dengan purata hampir satu gol setiap perlawanan serta rekod penuh dalam sepakan penalti.
Berusia 25 tahun, Chrigor mahu cepat sesuaikan diri bersama pasukan dan sudah pun membuat ‘kerja rumah’ sebelum terbang ke Malaysia, “Secara jujurnya saya amat teruja untuk memulakan fasa baharu ini. Beraksi di luar negara pastinya datang dengan cabaran yang tinggi, tetapi saya datang dengan hati yang terbuka dan tekad untuk berusaha keras bagi menyesuaikan diri dengan secepat mungkin. Dari pengalaman saya di Thailand, cara tersebut membantu saya selesa dengan budaya pasukan dengan cepat. Dalam masa yang sama, saya juga telah membuat kaji selidik berkenaan dengan kelab ini dengan menonton perlawanan, mengikuti perjalanan pasukan di media sosial, dan cuba memahami corak permainan yang digunakan. Saya sedar masih banyak yang perlu saya pelajari, terutamanya dari segi bahasa, tetapi saya komited dengan apa yang mendatang. Saya akan bekerja keras untuk menjaringkan gol, dan membantu pasukan bagi mencapai sasaran musim ini.”
Penyerang import baharu ini ingin berikan yang terbaik kepada para penyokong, “Selain itu, saya lihat sokongan daripada para penyokong dan semangat yang mereka tunjukan sangat menakjubkan. Saya juga amat hargai kata-kata semangat yang dihantar oleh para penyokong di Instagram dan saya tidak sabar untuk beraksi di padang untuk para penyokong. Saya berasa bangga dapat menjadi sebahagian daripada Selangor FC.”
Menurut Ketua Jurulatih Selangor FC, Katsuhito Kinoshi, Chrigor menunjukkan bahawa beliau mahu bersama pasukan dan yakin beliau akan menambah kekuatan barisan serangan untuk musim ini, “Chrigor memiliki pengalaman yang baik di Asia Tenggara serta mempunyai semangat yang tinggi dalam dirinya. Sebelum menandatangani kontrak, beliau telah berbincang dan menyatakan hasrat yang jelas untuk bersama Selangor FC."
“Baru berusia 25 tahun, beliau masih mempunyai ruang untuk mengembangkan lagi bakatnya, dan saya melihat potensi dalam dirinya. Beliau akan memainkan peranan penting bersama barisan jentera serangan dengan menyumbang melalui jaringan dan bantuan gol. Dalam masa yang sama, kesungguhannya untuk terus maju menjadikan beliau satu aset bernilai untuk pasukan."
Selangor FC mengucapkan selamat datang kepada Chrigor Moraes. Semoga beliau dapat menambah kekuatan barisan jentera serangan Gergasi Merah untuk Liga Malaysia serta perlawanan antarabangsa; ACLTWO dan Kejohanan Kelab ASEAN musim 2025/26. #MoraesIsRed
Teruskan ikuti media sosial Selangor FC untuk mendapatkan info-info terkini mengenai persediaan pasukan untuk musim 2025/26.
?Demi Kebanggaan!